Ahad, 12 Julai 2009

Kisah Bagaimana Sang Gagak dan Sang Merak Mendapat Warna

Seperti yang pernah diceritakan

Alkisah satu masa dahulu di dalam sebuah rimba yang permai terdapat dua ekor burung yang bersahabat baik iaitu Sang Gagak dan Sang Merak. Pada masa itu Sang Gagak dan Sang Merak tidak mempunyai warna pada bulu mereka apatah lagi corak yang menarik

Disebutkan dalam kisah mereka, pada suatu hari sedang mereka bersiar-siar di rimba itu, mereka terjumpa dengan beberapa tong cat yang bermacam-macam warna. Lantas timbullah idea dalam diri Sang Gagak untuk menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan dirinya yang tidak berwarna berserta sahabat baiknya.

Hal tersebut dipersetujui oleh Sang Merak yang juga mahukan warna pada badannya. Dia mengemukakan cadangan untuk Sang Gagak melukis di badannya dulu sebelum dia pula mewarnakan badan Sang Gagak.

Sang Gagak yang dikenali sebagai seekor binatang yang kreatif dan berbakat mula melukis corak dan mewarnakan badan sang Merak. Hasilnya Sang Merak kelihatan cantik dengan warna barunya. Sesudah itu tibalah giliran Sang Merak untuk mewarnakan badan Sang Gagak.

Tetapi Sang Merak pula dikenali sebagai binatang yang tidak mempunyai bakat dan amat pemalas. Tanpa mahu memikir panjang, Sang Merak terus mengambil cat hitam dan dicampakkannya ke arah badan Sang Gagak. Hasilnya tubuh Sang Gagak berwarna hitam legam keseluruhannya.

Sang Merak yang kaget dengan kejadian itu terus melarikan diri. Setelah beberapa ketika Sang Gagak sudah tidak sabar untuk melihat dirinya yang baru. Dia berjalan cepat-cepat ke arah sungai berdekatan dan melihat dirinya pada riak air sungai tersebut.

Alangkah terkejutnya sang Gagak apabila melihat dirinya yang berwarna hitam keseluruhannya dari atas hingga ke bawah. Dengan rasa marah yang teramat sangat Sang Gagak terus mencari Sang Merak yang sudah lari jauh ke dalam rimba itu.

Begitulah ceritanya kenapa gagak membuat bunyi, "akk, akk" singkatan kepada "merak, merak". Ada yang mengatakan Sang Gagak terus mencari Sang Merak hingga ke hari ini. Dan Sang Merak terus menyembunyikan diri dari Sang Gagak walaupun dia selalu bermegah-megah dengan kecantikannya.

moralnya: jangan mengkhianati kepercayaan rakan kepada kita, sentiasa menghormati dan mengakui kesilapan diri kelak merana sendiri

Yang tak pernah diceritakan (saja ditokok tambah)
khabarnya untuk memudahkan pencarian ke atas Sang Merak, Sang Gagak mula menubuhkan kumpulan Gagak Hitam yang turut dijemput berlakon dalam filem Gila-gila Remaja lakonan Faizal Hussein. Gempak tu dengan populariti yang diraih boleh mengundang rasa tak puas hati kepada Sang Merak dan Sang Merak pasti keluar dari persembunyiannya demi menuntut royalti hasil dia mewarnakan Sang Gagak sehingga membentuk personaliti Sang Gagak Hitam. Komfem gadoh besar diorang.

Selasa, 21 April 2009

Perlumbaan Sang Arnab dan Sang Kura-kura



Seperti yang pernah diceritakan

Pada suatu hari, Sang Kura-kura sedang berjalan perlahan-lahan mengambil angin pagi di rimba. Tiba-tiba datang Sang Arnab yang memang terkenal antara binatang yang pantas di rimba itu.

"Eh, Kura-kura, ada kau di sini, mahu ke mana kau?", kata Sang Arnab membuka bicara.

"Ya, Arnab, aku tak ke mana-mana saja berjalan-jalan", jawab Sang Kura-kura.

"Kura-kura-Kura-kura, kasihan aku tengok kau ni, jalan pun lambat, bila kau mahu tiba ke destinasi", ejek Sang Arnab yang memang dikenali suka mengejek yang lemah.

"Tak apalah Sang Arnab, dah dijadikan aku begini, aku redha", kata Sang Kura-kura sambil terus berjalan meninggalkan Sang Arnab tadi.

Sang Arnab masih tidak berpuas hati kerana Sang Kura-kura sepertinya tidak terkesan akan sindirannya tadi. Lantas dia mengemukakan satu cabaran kepada Sang Kura-kura dengan niat mahu mengenakan dan memalukannya.

"Apa kata kalau kita berlumba Kura-kura, saja aku mahu bersaing dengan kau",

"Tidak apalah Arnab", jawab Sang Kura-kura ringkas.

"Tak kira Kura-kura kau mesti berlumba dengan aku juga besok, aku tunggu dekat tebing sungai sana", kata Sang Arnab tidak mempedulikan kata-kata Sang Kura-kura.

Keesokkan harinya, seluruh rimba datang untuk menyaksikan perlumbaan antara Sang Arnab dan Sang Kura-kura itu. Dengan Sang Kancil menjadi pengadilnya, perlumbaan yang dijadualkan bermula dari tebing sungai, menelilingi rimba dan tamat di tebing sungai kembali, perlumbaan itu dimulakan di tengah-tengah hiruk pikuk penyokong kedua-dua peserta.

Dengan pantasnya Sang Arnab berlari jauh meninggalkan Sang Kura-kura. Sedang Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan melepasi garisan mula.

Setelah beberapa ketika Sang Arnab berhenti di bawah sebatang pokok. Lalu dia memerhatikan kalau-kalau ada kelibat sang Kura-kura di belakangnya.

"Ah, pasti sudah jauh ku tinggalkan Kura-kura, garisan tamat pun dah dekat, mengantuk pula aku, baik aku tidur sekejap, bila aku terjaga nanti Kura-kura pasti belum memotong aku", fikir Sang Arnab.

Dengan rasa mengantuknya, Sang Arnab pun tidur di bawah pokok tersebut.

Tidak lama kemudian, Sang Kura-kura tiba di pokok tempat Sang Arnab sedang tidur. Dengan tidak mempedulikan Sang Arnab, Sang Kura-kura terus berjalan menuju garisan penamat.

Selepas beberapa ketika, Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Dengan tergesa-gesa dia berlari menuju garisan penamat.

"Ish, lama pula aku tidur, entah-entah Sang Kura-kura sudah memotong aku", getusnya sendiri.

Sesampainya Sang Arnab di garisan penamat kelihatanlah Sang Kura-kura menerima ucapan tahniah dari binatang-binatang rimba yang lain kerana memenangi perlumbaan itu. Dengan rasa malunya Sang Arnab beredar pantas dari situ kerana tewas kepada Sang Kura-kura sambil diketawakan para penghuni rimba.

moral: jangan memperkecilkan orang lain, jangan ambil mudah dan sentiasa berusaha

Yang tak pernah diceritakan (saja ditokok tambah)

Selepas kejadiana itu, Sang Arnab sentiasa berlatih keras untuk memantapkan lagi lariannya. Dan dia telah menjalankan rematch dengan Sang Kura-kura dan memenangi semula perlumbaan itu serta mengembalikan reputasinya. Tapi walau apapun, kisah kekalahannya tetap menjadi bahan ketawa penghuni rimba sehinggalah ke anak cucu.

Ahad, 29 Mac 2009

Sang Monyet yang degil

Seperti yang pernah diceritakan

Pada suatu hari Sang Kancil sedang berjalan-jalan di kebun buah-buahan dan sayur-sayurannya bersama rakannya Sang Kura-kura. Sedang asyik mereka menikmati buah-buahan di situ, tiba-tiba datang Sang Monyet yang kelihatan amat kelaparan sekali.

"Tolong, tolong, aku amat lapar sekali. Sudah beberapa hari aku tak makan", kata Sang Monyet dengan sedih.

"Bolehkah kiranya kamu berdua berikan sedikit buah-buahan untuk aku makan", pinta Sang Monyet tadi.

Sang Kancil dan Sang Kura-kura berasa amat sedih dan kasihan melihat keadaan Sang Monyet seperti itu.

"Baiklah Monyet, ambillah apa saja yang kau mahu", kata Sang Kancil.

"Terima kasih Kancil, terima kasih Kura-kura", seloroh Sang Monyet gembira.

Melihatkan pepohon buah-buahan yang merimbun di hadapannya, mulalah Sang Monyet berasa tamak. Tiba-tiba dia ternampak akan pokok cili yang ranum dengan cili-cili yang merah menyala.

"Aku mahu itu, aku mahu itu!", teriak Sang Monyet.

"Jangan Monyet, nanti kau yang menanggung pedihnya", tegah Sang Kura-kura.

"Betul tu Monyet, pilihlah buah yang lain", sokong Sang Kancil.

"Ah, aku tak peduli. Aku mahu buah itu juga", kata Sang Monyet tegas.

Dengan tidak mempedulikan amaran Sang Kancil dan Sang Kura-kura, Sang Monyet terus meluru ke arah pokok cili. Dia memetik cili-cili yang merah menyala itu dan terus memakannya dengan gelojoh.

Tiba-tiba Sang Monyet menjerit,

"Pedas!!!, pedas!!!, air, air, mana air. Pedas!!!",

Dengan muka yang merah kerana menahan Sang Monyet berlari mencari air bagi menghilangkan pedas di lidahnya itu, sambil Sang Kancil dan Sang Kura-kura menggeleng-gelengkan kepala mereka.

moral: berfikir sebelum bertindak, jangan degil, dengar nasihat orang lain, kesian mereka bagi nasihat kita tak nak dengar.

Yang tak pernah diceritakan (saja ditokok tambah)

Selepas kejadian itu, Sang Monyet mengalami cirit birit selama satu minggu lamanya. Sejak dari itu Sang Monyet tidak lagi berani meng'order' makanan yang pedas-pedas sampaikan dia tak berani nak berjalan sebelah pokok cili apatah lagi bila mendengar perkataan cili, terus kena sawan dia.

Sekian adanya

Selasa, 24 Mac 2009

Sang Kancil dan Buaya


Seperti yang pernah diceritakan

Pada suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan. Sedang dia berjalan, tiba-tiba dia ternampak akan pepohon buah-buahan yang rimbun merendang di seberang sungai.

"Alangkah nikmatnya jika aku dapat merasai buah-buahan itu", fikirnya sendiri

"Tetapi, bagaimana aku hendak menyeberang ke sana, aku bukannya pandai berenang", timbul sedikit keraguan dalam dirinya.

Setelah mundar mandir memikirkan cara untuk menyeberang sungai itu, timbul satu idea untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.

"Nasib baik aku dikurniakan akal yang bijak", katanya sendirian sambil berlari ke tebing sungai untuk menjalankan misinya.

"Sang Bedal, ooo, Sang Bedal!", panggil Sang Kancil.

Tiba-tiba muncul ketua buaya-buaya di sungai itu. Dengan bengisnya dia berkata

"Apa kau mahu Kancil?", sambil matanya meliar memerhatikan tubuh Sang Kancil

"Alangkah enaknya kalau diratah kancil ni", fikirnya yang sedang kelaparan itu.

"Oh, begini, Raja Sulaiman menitahkan aku untuk menghitung berapa banyak buaya yang ada di sungai ini. Baginda mahu menjemput kalian ke kendurinya", mulalah Sang Kancil menjalankan tipu helahnya.

"Benarkah begitu!", serta merta nafsu lapar Sang Bedal mula menguasai diri dan dengan pantas dia memanggil anak buahnya

Maka datanglah gerombolan buaya mengikut arahan tuan mereka.

"Jadi Sang Kancil tunggu apa lagi, cepatlah hitung bilangan kami sekarang", kata Sang Bedal kepada Sang Kancil.

"Hahaha, siap kau Bedal, mudahnya kau kena tipu dengan aku", kata sang Kancil dalam hati.

"Sabar Sang Bedal, aku fikir lebih baik jika kamu semua beratur hingga ke hujung sana. Lebih mudah untuk aku kira kamu semua", ujarnya.

Tanpa berfikir panjang, Sang Bedal mengarahkan anak buahnya untuk menurut cadangan Sang Kancil tadi. Selesai mereka beratur, mulalah Sang Kancil melompat ke atas buaya yang pertama.

"Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk", hitung Sang Kancil

Tiba sahaja di tebing sebelah sana, Sang Bedal bertanya,

"Jadi bila kami boleh pergi ke kenduri Raja Sulaiman, Kancil",

"Ada ___ ekor buaya yang bodoh di dalam sungai ini. Maaf Sang Bedal, sebenarnya tiada kenduri Raja Sulaiman, aku cuma mahu menikmati buah-buahan di sini. Hahaha, terima kasih Sang Bedal", kata sang Kancil dalam nada mengejek.

Sambil buaya-buaya lain mengerumuni Sang Bedal yang sedang keliru atas penipuan Sang Kancil, mereka bertanya,

"Jadi tak adalah makan", kata buaya yang pertama

"Kita semua dah kena tipu", kata buaya kedua

"Ini semua kau punya pasal", kata buaya ketiga sambil menyalahkan Sang Bedal

"Serang!!!", serentak mereka menjerit.

Lalu berlarilah (eh) Sang Bedal kerana dikejar anak-anak buahnya yang sedang marah. Sambil Sang Kancil dengan asyiknya menikmati buah-buahan itu.

moral: jangan mudah terpedaya, jangan menipu juga tak baik hahaha

Yang tak pernah diceritakan (saja ditokok tambah)

Tetapi setelah kejadian itu, buaya-buaya tadi mula memikirkan cara untuk meraih keuntungan dengan menjadi jambatan untuk haiwan-haiwan lain melintas. Kira diorang ambil upah la ni, tak nak kena tipu lagi. Kira ok la tu, tolong menolong antara satu sama lain, tapi ongkosnya kena ada gak la. Bisnes is bisnes.

Sekian adanya